KUALA LUMPUR 9 Mei – Penyebaran maklumat palsu kononnya akan berlaku huru-hara selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diumumkan malam ini merupakan serangan fitnah yang bermotifkan provokasi bagi menjejaskan ketenteraman negara.
Perbuatan yang ditularkan menerusi media sosial dan aplikasi WhatsApp itu juga didakwa sengaja dilakukan pihak tidak bertanggungjawab bagi menimbulkan ketakutan dalam kalangan rakyat.
Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, rakyat negara ini cukup matang untuk menilai sesuatu perkara, sama ada ia tepat atau palsu.
“Ini bukan PRU pertama di negara ini tetapi yang ke-14, jadi masyarakat telah lama bersedia dan mengetahui apa yang akan berlaku seterusnya selepas keputusan diumumkan malam ini.
“Peralihan kuasa pernah berlaku di beberapa negeri tanpa sebarang huru-hara mahupun kekecohan, jadi jelas khabar angin itu bertujuan untuk memburukkan keadaan semata-mata,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.
Jelas Mohamed Mustafa yang juga Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), pihak berkuasa telah melaksanakan pelbagai persiapan awal bagi memastikan negara dan keselamatan rakyat terus terjamin.
“Atas sebab itu, orang ramai dinasihatkan supaya mempercayai maklumat yang dikeluarkan daripada pihak berkuasa sahaja, dan bukan sumber-sumber lain,” katanya.
Beberapa laman sosial hari ini tular mengenai pesanan sekiranya berlaku peralihan kuasa dan amaran menghadapi darurat.
Pesanan palsu tersebut meminta orang ramai supaya mengurungkan diri dalam rumah apabila keputusan PRU-14 diumumkan malam ini.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menerusi satu kenyataan memberi jaminan bahawa situasi keselamatan negara adalah kekal terkawal dan selamat pada hari pengundian.
Kata beliau, para anggota dan pegawai polis di seluruh negara memberi komitmen yang tinggi dalam memastikan pilihan raya kali ini berjalan dengan aman dan tenteram. – UTUSAN ONLINE








