KUALA LUMPUR 14 Mei – Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz hari ini menerima kunjungan tiga ahli parlimen dari kawasan Kuala Lumpur bagi membincangkan beberapa perkara yang berkait rapat mengenai isu pembangunan di ibu kota.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, perjumpaan yang turut disertai Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fun Kui Lun itu berlangsung dengan lancar dan akan dilanjutkan dalam pertemuan rasmi pada Ramadan ini.
“Hari ini merupakan perjumpaan tidak rasmi bagi mengutarakan beberapa masalah dihadapi di kawasan masing-masing untuk diselesaikan DBKL. Ia berkait rapat dengan beberapa isu seperti perumahan, pembangunan, trafik dan sebagainya.
“Saya percaya kerjasama yang sangat rapat akan kita saksikan di antara semua ahli parlimen dan DBKL yang semestinya kami pentingkan adalah pembangunan Kuala Lumpur yang lestari dan mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pertemuan bersama Mhd. Amin Nordin di Menara 1 DBKL, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











