PULAU PINANG 31 Mei – Dua jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan Chan Peng Soon masing-masing menerima imbuhan berbentuk wang tunai bernilai RM26,400 dan RM5,400 daripada kerajaan negeri hari ini atas kejayaan memenangi pingat pada temasya Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, baru-baru ini.
Chong Wei memenangi emas bagi acara badminton perseorangan dan perak bagi acara berpasukan campuran manakala Peng Soon pula membawa pulang perak dan gangsa masing-masing menerusi acara berpasukan campuran dan beregu campuran.
Imbuhan di bawah Skim Insentif Kemenangan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang atau Skimas yang disampaikan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow itu diberikan kepada anak negeri yang cemerlang dalam arena sukan.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Soon Lip Chee. – UTUSAN ONLINE










