KUALA LUMPUR 13 Mei – Sejak diperkenalkan pada Mac 2016, Creacion & SimplySiti By Siti Nurhaliza berbangga atas pembukaan cawangan kelapan butiknya yang terletak di pusat beli-belah Melawati Mall, di sini hari ini.
Pengasasnya, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkata, pelancaran butik terbaharu itu amat bertepatan dengan masanya bersempena kehadiran bulan Ramadan dan Syawal tidak lama lagi.
“Jadi, saya gunakan kesempatan yang ada untuk mengadakan majlis ini di samping memperkenalkan koleksi pakaian terkini untuk digayakan pada hari raya nanti.
“Lebih dua tahun perniagaan ini bertapak di Malaysia dan sebanyak 39 rekaan dihasilkan dan lapan daripadanya adalah rekaan Premium Series termasuk cetusan idea saya sendiri.
“Rekaan istimewa yang saya ilhamkan itu dinamakan Design by Siti Nurhaliza,” katanya yang hadir merasmikan butik berkenaan.
Pada masa sama, sebuah pertunjukkan fesyen turut diadakan bagi memberi peluang kepada pengunjung yang memenuhi kompleks menyaksikan sendiri koleksi pakaiannya.
Menurut penyanyi tersohor itu, koleksi yang ditampilkan kali ini bermotifkan bunga serta corak yang mampu menyuntik elemen segar buat si pemakai.
Siti juga sempat menghiburkan hadirin yang hadir dengan menyanyikan dua buah lagu, sekali gus mengubat kerinduan peminatnya setelah sekian lama berehat. – UTUSAN ONLINE










