KUALA LUMPUR – Beberapa bekas menteri kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu berharap barisan Kabinet baharu Pakatan Harapan (PH) yang mengangkat sumpah jawatan secara rasmi semalam dapat terus membawa perubahan serta kemajuan kepada negara.
Bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, keputusan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu harus dihormati dan barisan Kabinet baharu perlu diberi peluang untuk membuktikan keupayaan memajukan Malaysia.
“Rakyat juga perlu memberi peluang kepada kepimpinan baharu untuk memenuhi segala janji-janji yang dibuat sewaktu PRU-14 baru-baru ini dan kerajaan PH perlu menunaikannya kepada pengundi yang telah mengundi mereka,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Sementara itu, bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memberitahu, barisan Kabinet PH perlu bekerja lebih keras bagi memastikan segala janji yang dilafazkan pada PRU-14 mampu ditunaikan.
“Kami (BN) akan sentiasa memantau barisan kabinet baharu dan mengharapkan mereka dapat melaksanakan dasar-dasar yang dibentuk bagi mewujudkan sebuah negara yang lebih baik serta stabil.
“PH perlu menjaga amanah yang ditinggalkan BN dengan sebaik mungkin sekali gus mencipta corak kehidupan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia,” ujarnya.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.











