Buaya mati ditembak ketika mahu baham ternakan - Utusan Malaysia

Buaya mati ditembak ketika mahu baham ternakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BETONG – Bunyi bising beberapa ekor ayam dan itik milik seorang penduduk membawa kepada penemuan mengejutkan apabila seekor buaya jantan sepanjang lima meter yang ditemui sedang cuba membaham beberapa ekor haiwan ternakan miliknya di Kampung Emplam di sini awal pagi hari ini.

Ketua Kampung, Boestaman Bakar berkata, buaya tembaga yang mempunyai berat sekitar 200 kilogram itu naik ke darat dan cuba membaham beberapa ekor haiwan ternakan milik penduduk itu kira-kira pukul 2.30 pagi hari ini.

Menurutnya, pemilik haiwan yang curiga dengan bunyi bising itu cuba menjenguk dan menyuluh di bawah rumah itu sebelum terkejut apabila melihat seekor buaya besar cuba membaham ternakannya.

“Pemilik rumah kemudiannya meminta bantuan jiran yang mempunyai senapang untuk membantu menembak reptilia itu. 

“Jirannya kemudian melepaskan satu das tembakan yang tepat mengenai badannya dan reptilia itu dilihat sudah mati,” katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, ini merupakan kejayaan kedua penduduk kampung menembak mati sang bedal selepas kes pertama dilaporkan pada 2 Januari lalu.

Katanya, kali pertama reptilia itu muncul di bawah rumah penduduk atau kawasan sekitar kerana Sungai Seblak memang merupakan lokasi utama habitat buaya di Sarawak. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×