Rakyat sudah membuat pilihan. Dan pilihan majoriti mereka adalah Pakatan Harapan untuk memerintah Johor.
Justeru, sebagai sebuah negeri dan negara yang menjunjung konsep demokrasi, semua pihak diharap menerima keputusan tersebut dengan baik dan berlapang dada.
Namun, hakikatnya kedua-dua belah pihak, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan sama-sama ‘terkejut’ dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
BN Johor terkejut dan terkedu kerana tidak menyangka akan mengalami kekalahan teruk sehingga pentadbiran kerajaan berjaya dirampas pembangkang.
Sebenarnya berdasarkan ‘bacaan’ daripada pelbagai agensi dan sumber, walaupun tewas di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun diyakini BN masih mampu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah.
Nyata ramalan itu meleset jauh apabila Pakatan Harapan memenangi 36 daripada 56 kerusi DUN dan 18 daripada 26 kerusi Parlimen.
Seperti BN, pemimpin Pakatan Harapan lebih terkejut dan seakan-akan tidak percaya mereka mampu merampas Johor yang selama ini dianggap sebagai kubu kuat UMNO dan BN. Tetapi itulah suara rakyat, kini Johor mempunyai kerajaan baharu untuk tempoh lima tahun akan datang.
Persoalannya apa yang rakyat mahu?
Jika dinilai daripada segi pencapaian dan perancangan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selepas lima tahun ini, pelbagai usaha dilaksanakan untuk meningkatkan ekonomi negeri dan mensejahterakan rakyat.
Ada beberapa pemerhati politik berpendapat, cerminan daripada keputusan itu bukan disebabkan faktor isu tempatan atau siapa pemimpin, tetapi dilanda tsunami keinginan rakyat menolak kerajaan BN.
Apa punca dan sebab tsunami itu berlaku? BN harus bersikap berlapang dada untuk mengkaji, meneliti dan seterusnya mengakui serta mencerna dengan hati terbuka. Usah menuding jari kepada sesiapa tetapi muhasabah diri untuk menilai kelemahan dan kekuatan mereka.
Yang paling utama kenapa rakyat menolak BN pada PRU-14 sedangkan BN sudah lebih enam dekad memimpin, mentadbir, berbakti dan berjasa kepada negara ini? Tiada siapa mampu menafikan jasa dan pencapaian tersebut!
Andai kriteria pemimpin dijadikan punca, namun kenapa ada beberapa pemimpin yang sentiasa berusaha gigih membantu rakyat, khususnya di kawasan mereka termasuk Mohamed Khaled (Pasir Gudang dan Permas), Datuk Nur Jazlan Mohamed (Pulai), Datuk Ab. Aziz Kaprawi (Sri Gading), Datuk Ayub Rahmat (Sekijang) serta Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang dianggap ‘kebal’ di Parlimen Johor Bahru turut tewas.
Satu keputusan yang menunjukkan dengan jelas bahawa rakyat nekad menolak BN adalah di DUN Bukit Pasir yang melibatkan pertandingan dua penjuru antara calon BN, Datuk Noriah Mahat dan calon Pas, Najib Lep tanpa calon PKR, Pizi Jihat yang ditolak pencalonannya kerana didakwa muflis.
Keputusannya, para pengundi di kawasan tersebut tetap memilih Najib dengan ketiadaan calon PKR dan tetap enggan memberi kemenangan kepada Noriah hanya kerana mereka nekad menolak BN.
Walau apapun, keputusan telah dibuat oleh rakyat dan seharusnya semua pihak menghormatinya serta kekal bertenang.










