KOTA BHARU 15 Mei – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diminta memberi ruang lebih luas kepada Pas untuk memberi penerangan kepada rakyat berkaitan pelaksanaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 2016 (RUU355).
Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh (gambar) berkata, ruang dimaksudkan itu termasuk memberi peluang kepada Pas menggunakan media arus perdana seperti televisyen.
“Kita mengharapkan kerajaan yang baharu beri ruang lebih luas berbanding UMNO dan BN sebelum ini. Ruang ini bukan sekadar bawa ke Parlimen, tetapi di media termasuk televisyen umpamanya, supaya kita dapat memberi penjelasan sebaik mungkin kepada rakyat terutama bukan Islam.
“Insya-Allah kita bersedia beri penjelasan secara profesional, kita sedia berdialog secara harmoni dengan sesiapa sahaja yang tidak memahami bahawa RUU355 ini adalah agenda yang sangat baik untuk negara,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh ditemui pemberita selepas mesyuarat pasca-Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Pas Kelantan di Kediman Rasmi Menteri Besar, JKR 10, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Nik Muhammad Zawawi memberitahu, Pas akan berusaha menggunakan apa sahaja saluran termasuk bertemu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri bagi membolehkan pihaknya terus diberi ruang memberi kefahaman berkaitan RUU355 kepada rakyat Malaysia.
Beliau menegaskan, RUU355 bukan agenda Pas atau mana-mana parti politik, sebaliknya satu agenda yang perlu disepakati seluruh wakil rakyat beragama Islam bagi memartabatkan Islam di negara ini.
“Pas tidak lebih daripada pihak yang diberi amanah Allah SWT untuk sempurnakan tugas ini.
“Kita harapkan semua pemimpin beragama Islam memahami tugas dan tanggungjawab mereka sangat besar di sisi Allah SWT berkenaan RUU355 ini sebab ia bukan agenda Pas atau parti politik,” katanya.










