PUTRAJAYA 15 Mei- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi jaminan bekalan makanan termasuk bahan mentah sepanjang Ramadan dan Syawal ini mencukupi.
Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar berkata, keyakinan itu berdasarkan pemerhatian pihaknya terhadap bekalan makanan daripada sektor pertanian tempatan.
Beliau berkata, sekira bekalan makanan tidak mencukupi untuk Ramadan dan Syawal ini pihaknya juga bersedia untuk meningkatkan jumlah import selain melakukan sekatan eksport.
“Berdasarkan analisa, bekalan makanan seperti ayam, daging, sayur-sayuran dan juga buah-buahan adalah mencukupi untuk menampung permintaan pengguna sepanjang Ramadan dan Syawal ini.
“Kita juga telah melaksanakan sekatan eksport terhadap ikan-ikan dari dalam negara. Ikan mendapat permintaan tinggi, jadi kita memberi keutamaan kepada permintaan dalam negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Pasar Tani Ambang Ramadan di Pasar Tani Putrajaya di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE.










