KANGAR – Krisis pelantikan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man akan selesai sekiranya beliau dengan rela hati berundur daripada jawatan itu.
Setiausaha Barisan Nasional (BN) Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin mendakwa, krisis dan polemik itu tidak perlu berlanjutan sehingga perlu diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Mengapa kita perlu adakan PRN kerana BN menang 10 daripada 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang membolehkan membentuk kerajaan negeri.
“Situasinya kini, pelantikan Azlan tidak diterima oleh sembilan ADUN BN yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.
“Beliau juga tidak boleh bertindak bersendirian sebagai Menteri Besar untuk melantik Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan mengadakan persidangan DUN,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Zahidi turut mengemukakan 11 orang wakil rakyat parti itu sebagai calon Menteri Besar yang baharu semasa menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajudddin Putra Jamalullail pada minggu depan.
Termasuk dalam senarai itu ialah beliau sendiri dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga merupakan Pengerusi BN Perlis.
Difahamkan, berdasarkan perkara 39 (4) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis, Raja Perlis berhak melantik sesiapa sahaja sebagai Menteri Besar termasuk Ahli Parlimen. – K! ONLINE











