PONTIAN 13 Mei – Hujan renyai-renyai pagi ini tidak menghalang 120 pegawai dan anggota polis daerah ini menyertai Konvoi Motosikal Kapcai Polis sempena sambutan Hari Peringatan Polis Ke-211, di sini.
Konvoi tersebut diketuai oleh Ketua Polis daerah, Superintenden Mustafa Bakri Salleh, Timbalannya, Deputi Superintenden Azri Noraini serta Pengerusi Persatuan Pesara Polis Pontian, Salim Omar.
Menurut Mustafa, konvoi tahun ini mengunjungi 10 orang pesara polis sebagai tanda ingatan dan penghargaan atas khidmat mereka dalam pasukan.
Katanya, konvoi menuju ke rumah pesara polis di Ayer Baloi, Parit Tengah, Kampung Parit Lapis Sayang, Taman Mekar Kayu Ara Pasong, Taman Bunga Teratai, Taman Emas Merah, Parit Mat Yakin, Taman Sri Maju, Kampung Parit Semerah dan berakhir di Jalan Parit Masjid.
“Konvoi dijangka berakhir pada pukul 6 petang yang dapat memberikan pengalaman kepada semua pegawai dan anggota bagi mendekati insan-insan yang pernah berjasa dalam pasukan keselamatan berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini.
Semasa konvoi berkenaan, pihaknya turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada setiap pesara bagi persiapan menyambut Ramadan tidak lama lagi.
“Acara tahunan ini sepatutnya diadakan pada Mac lalu, namun ditangguhkan bagi memberikan tumpuan terhadap Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya.
Sementara itu, seorang pesara, Hassan Majed, 87, di Kampung Ayer Baloi terharu dengan kehadiran pegawai dan anggota polis ke rumahnya hari ini walaupun telah bersara lebih 30 tahun lalu.
Berasal dari Batu Kurau, Perak, dia menamatkan perkhidmatan dalam pasukan tersebut di Balai Polis Ayer Baloi dan terus menetap di sini bersama isteri, Khadijah Abdullah, 76, yang berasal dari Muar.
“Kami tinggal berdua di rumah, anak-anak seramai lapan orang semua bekerja di luar daerah selain mempunyai 22 orang cucu. Syukur alhamdulillah, pak cik masih diberikan kesihatan yang baik walaupun ada sakit-sakit sebagai orang tua,” katanya.










