10 Exco Selangor termasuk dua wanita angkat sumpah jawatan hari ini - Utusan Malaysia

10 Exco Selangor termasuk dua wanita angkat sumpah jawatan hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini hari ini.

Daripada senarai Exco berkenaan, tujuh termasuk dua Exco wanita merupakan muka baharu yang akan mengalas tanggungjawab dalam tempoh lima tahun.

Kesemua 10 Exco itu terdiri daripada empat orang ADUN daripada Parti Keadilan Rakyat, tiga (DAP), dua (Parti Amanah Negara) dan seorang (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).

ADUN PKR yang mengangkat sumpah dan satu-satunya kekal sebagai Exco ialah Amiruddin Shari (Sungai Tua) dan tiga baharu yang dilantik Haniza Mohamed Talha (Lembah Jaya), Shaharuddin Badaruddin(Seri Setia) dan Hee Loy Sian (Kajang).

Bagi ADUN DAP pula dua wakil rakyat kekal menjadi Exco iaitu Datuk Teng Chang Kim (Bandar Baru Klang) dan V.Ganabatirau (Kota Kemuning) serta muka baharu Ng Sze Han(Kinrara).

Sementara itu, bagi ADUN PAN pula yang mengangkat sumpah, bekas Ahli Parlimen Kota Raja, Dr.Siti Mariah Mahmud (Seri Serdang) dan Izham Hashim (Pandan Indah), manakala mewakili PPBM, Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Kelang).

Kesemua 10 Exco itu terdiri daripada empat orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Keadilan Rakyat, tiga (DAP), dua (Parti Amanah Negara) dan seorang (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).

Turut berangkat pada majlis istiadat angkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Jumaat lalu,  Mohamed Azmin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal kedua di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Pakatan Harapan memenangi 51 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding Barisan Nasional (4) dan Pas (1). – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×