PETALING JAYA 13 Feb. – “Saya perlu muhasabah diri atas apa yang telah terjadi. Saya masih belum dibuktikan bersalah lagi.”
Itu luahan pelakon filem KL Gangster, Sofi Jikan sebaik sahaja dibebaskan dengan ikat jamin selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan melibatkan dadah kanabis.
Sofi atau nama sebenarnya Mohamad Shoffi Jikan, 48, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurulhuda Zakariya.
Video oleh ZETI FARZANA ALPIKRI
Dia didakwa memasukkan dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid (THC) minggu lalu di Pejabat Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di sini kira-kira pukul 11.15 malam, 6 Februari lalu.
Sofi didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya.
Ketika prosiding, pelakon yang popular dengan dialog ‘Wa Kasi Sengat’ dalam filem KL Gangster dari dalam kandang tertuduh berkata: “Saya mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.”
Timbalan Pendakwa Raya, Natasya Chin Le Jy mencadangkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin.
Peguam Datuk Haniff Hassan mewakili tertuduh memohon jaminan antara RM2,000 dan RM3,000 atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga termasuk ibunya yang tua.
“Tertuduh merupakan orang yang dikenali dalam kalangan masyarakat, justeru tiada kecenderungan untuk dia melarikan diri,” kata Haniff.
Nurulhuda membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Mac ini untuk sebutan semula kes.










