ALOR SETAR 6 Feb. – Pasangan beregu, Goh V Shem-Tan Wee Kiong gagal menyumbang mata kedua dalam aksi Kumpulan C, Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini sebentar tadi.
Dalam aksi kedua pasukan Malaysia, pasangan beregu negara tewas 21-16, 19-21, 20-22 kepada Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh dalam perlawanan yang memakan masa hampir sejam.
Wee Kiong berkata, permainan mereka secara keseluruhan masih boleh diterima namun terdapat beberapa kesilapan mudah membuatkan mereka kehilangan mata.
“Lawan kami beruntung kerana banyak melakukan ‘lucky shot’ ketika dijaring selain kami juga ada melakukan beberapa kesilapan sewaktu set kedua,” katanya ketika ditemui selepas tamat permainan.
Sementara itu, V Shem memberitahu, sikap tergopoh-gopoh mereka pada set kedua nyata memberi kesan kepada keseluruhan permainan mereka selain masalah angin semasa di dalam gelanggang.
“Selepas tewas pada kedua, kami agak tergesa-gesa untuk cepat menghabiskan permainan selain ada sedikit masalah angin semasa di dalam gelanggang.
“Kami akan cuba bangkit semula dalam perlawanan selepas ini,” katanya.-UTUSAN ONLINE










