NEW YORK 8 Feb. – Britain, Perancis, Amerika Syarikat (AS) dan lima negara lagi mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) supaya mengadakan perbincangan mengenai nasib ratusan ribu pelarian Rohingya yang ketika ini masih mendapatkan perlindungan di Bangladesh.
Lima negara itu termasuk Sweden, Poland, Belanda, Kazakhstan dan Equatorial Guinea turut meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan perbincangan dengan tiga anggota tetap UNSC.
UNSC sebelum ini mengadakan mesyuarat untuk mendengar laporan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Filippo Grandi mengenai krisis yang diakibatkan oleh tindakan kekerasan junta tentera di Rakhine pada Ogos tahun lalu.
Mesyuarat itu diadakan hampir tiga bulan selepas UNSC membuat kenyataan mendesak Myanmar menghentikan tindakan ketenteraan dan membenarkan etnik Rohingya pulang semula ke tempat asal mereka.
Lebih 750,000 Rohingya melarikan diri ke Bangladesh selepas tentera Myanmar didakwa melakukan penindasan dan kekerasan terhadap mereka.
Dalam perkembangan lain, pelarian Rohingya mendakwa tentera Myanmar sengaja membiarkan mereka kebuluran dengan merampas segala hasil pertanian serta haiwan ternakan yang diusahakan.
Menurut Abdul Goni yang kini berlindung di Bangladesh, tentera Myanmar bersama penduduk beragama Buddha akan menahan mereka daripada mencari kayu api dan merampas lembu-lembu yang digunakan untuk membajak sawah padi.
“Bapa saudara saya dibunuh tentera kerana cuba mempertahankan ternakannya daripada dirampas dan ada ketika anak saya kelaparan kerana tidak dapat makan,” katanya. – AGENSI











