TNB lancar iklan Tahun Baharu Cina 2018 - Utusan Malaysia

TNB lancar iklan Tahun Baharu Cina 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 8 Feb.- Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini melancarkan iklan terbaru sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2018.

Iklan yang mempunyai versi 60 saat dan tiga minit itu mengisahkan bagaimana tiga adik-beradik pernah meraikan tahun baharu dengan gembira namun ketaksuban menggunakan telefon pintar menjadikan sambutan tidak meriah seperti dahulu.

Ini mendorong adik-beradik tersebut mencari jalan untuk memeriahkan sambutan tahun baharu di kawasan kejiranan mereka sama seperti sambutan yang dibuat satu ketika dahulu.

Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab. Rahman berkata, disebabkan itu tema Coming Together digunakan bagi mengembalikan nostalgia kepada mereka yang bakal menyambut perayaan tersebut.

“Coming together mengingatkan kembali kepada rumah kita dan kampung halaman kita, bagaimana kita bersama-sama menyambut Tahun Baharu Cina satu masa dahulu.

“Sekarang ini sudah berbeza, kita banyak terdedah dengan alat-alat teknologi seperti telefon pintar jadi perayaan tidak seperti dahulu, sebab itu kita mahu menunjukkan bagaimana Tahun Baharu Cina disambut dengan meriah,” katanya.

Iklan Coming Together boleh disaksikan di semua platform media sosial sedia ada dan bakal disiarkan selama seminggu bermula 14 Februari ini di saluran televisyen yang terpilih.-UTUSAN ONLINE

OMAR ZIN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×