Selangor digesa perjelas punca projek rumah Selangorku dibatal - Utusan Malaysia

Selangor digesa perjelas punca projek rumah Selangorku dibatal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR – Kerajaan negeri Selangor digesa supaya berhenti berdolak-dalik dan menjelaskan segera kepada rakyat punca sebenar pembinaan sembilan projek Rumah Selangorku dibatalkan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, setakat ini kenyataan berhubung  pembatalan projek berkenaan adalah bercanggah antara Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar A. Samad dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Exco dalam kenyataannya berkata kelulusan projek itu dibatalkan kerana pemaju gagal mendapatkan Kebenaran Merancang dalam tempoh dua tahun daripada tarikh kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Menteri besar pula menyalahkan pemaju kerana mengutamakan projek perumahan kos sederhana dan mewah, jadi soalan saya apa sebenarnya punca pembatalan ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan sempena Tahun Baharu Cina di Bagan Pasir Penambang, di sini hari ini.

Pada Selasa lepas, Iskandar yang juga merupakan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka dilaporkan berkata, kerajaan negeri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Induk Rumah Selangorku telah  membatalkan sembilan projek rumah berkenaan yang diluluskan antara 2014 hingga 2016, setelah pemaju gagal mendapatkan kebenaran MMKN.

Projek berkenaan melibatkan tiga projek di Kajang, dua projek di Selayang dan masing-masing satu projek di Subang Jaya, Shah Alam, Ampang Jaya dan Klang. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×