BUKIT MERTAJAM 10 Feb. – Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) berjaya merampas 180 biji pil Eramin 5 dan dadah dipercayai Methamphetamine dengan nilai keseluruhan RM7,192 menerusi serbuan di sebuah bengkel kereta di Jalan Song Ban Keng di sini kelmarin.
Dalam operasi oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT, lima lelaki tempatan turut ditahan.
Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Hamid berkata, dadah jenis Methamphetamine seberat 64 gram itu dibungkus dalam 22 paket plastik lutsinar dengan nilai RM4,492.
” Sehubungan itu polis telah menahan kesemua suspek yang berusia 29 hingga 51 tahun yang mana semakan mendapati kesemua mereka mempunyai rekod jenayah dan dadah,” katanya di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, kesemua pil Eramin 5 itu disembunyikan dalam 18 paket kecil selain polis turut merampas peralatan menghisap dadah.
Katanya, kesemua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut seksyen 39B Dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE









