KUALA LUMPUR 12 Feb. – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang baru mengisytiharkan kadar dividen memberangsangkan bagi tahun 2017 menolak pandangan kononnya Pilihan Raya Umum Ke-14 tidak lama lagi bakal memberi kesan kepada pelaburan organisasi itu tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, situasi berkaitan politik hanya memberi kesan jangka pendek sahaja kepada pasaran sedangkan organisasi pelaburan seperti KWSP lebih memberi fokus terhadap pelaburan jangka panjang.
Beliau juga percaya, secara umumnya, kebanyakkan pihak lebih memberi fokus kepada hasil korporat.
“Perkara yang baik ialah semua pihak tahu pilihan raya umum akan berlangsung tahun ini. Jadi sebenarnya tiada ketidaktentuan dalam pasaran mengenainya kerana pelabur luar dan domestik telah bersedia dengannya.
“Kebanyakkan pelabur seperti kami lebih memberi fokus kepada pelaburan jangka panjang dan ini didorong oleh faktor mikroekonomi, faktor stuktur yang menunjukkan kepada pertumbuhan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan selepas memberi taklimat media berkenaan dividen KWSP bagi tahun 2017 di Bangunan KWSP di sini hari ini.
Pada Sabtu lalu, KWSP mengisytiharkan kadar dividen 6.9 peratus bagi Simpanan Konvensional, yang tertinggi sejak 1997 manakala Simpanan Syariah menunjukkan pencapaian memberangsangkan iaitu 6.4 peratus bagi kadar dividen pertamanya.
Mengulas lanjut, Shahril Ridza memberitahu, secara umumnya KWSP melihat kepada pertumbuhan global dan domestik dengan organisasi itu selesa terhadap perkembangan semasa.











