PADANG BESAR 8 Feb. – Jika ditanya apa masalah yang membelenggu rakyat kebelakangan ini, pastinya rata-rata daripada mereka akan memberi jawapan tentang kos sara hidup yang meningkat yang biasanya dikaitkan dengan kenaikan harga barang keperluan.
Masalah tersebut dilihat menekan rakyat pelbagai lapisan umur tidak kira mereka yang menetap di bandar atau kampung dan pastinya yang paling merasa kesannya adalah golongan berpendapatan rendah serta sederhana.
Jika dahulu mereka yang membawa wang belanja RM50 atau RM100 ke pasar mampu membawa pulang sebakul penuh barangan yang dibeli tetapi hari ini, dengan jumlah tersebut, mungkin tidak sampai setengah bakul. Itu hakikat yang perlu dilalui.
Namun, kerajaan tidak pernah membiarkan rakyat terbeban dalam mendepani masalah tersebut menerusi pelbagai usaha dan inisiatif yang telah diambil bagi membantu meringankan beban rakyat.
Malah terbaharu, kerajaan dengan kerjasama pelbagai agensi mengambil inisiatif mengadakan program Jualan Sentuhan Rakyat yang menawarkan barangan keperluan harian dengan harga jauh lebih murah berbanding harga pasaran.
Seperti di negeri lain, program tersebut turut diadakan di Perlis melibatkan lokasi di kawasan Parlimen Padang Besar, Arau dan Kangar.
Baru-baru ini, program itu telah diadakan di tapak pasar pagi Bukit Keteri di sini, tapak pasar pagi, Behor Lateh, Kangar dan di pekarangan Masjid Guar Gajah, Pauh, Arau dengan lebih 1,000 pengunjung hadir bagi setiap lokasi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuping, Asmaiza Ahmad ketika ditemui selepas program tersebut di pasar pagi Bukit Keteri baru-baru ini berkata, program berkenaan adalah tanda keprihatinan kerajaan dalam merasai denyut nadi rakyat yang berdepan dengan kos sara hidup.
Katanya, program jualan itu akan berlangsung selama enam bulan melibatkan lokasi terpilih di tiga Parlimen di negeri ini.
“Jualan Sentuhan Rakyat akan diadakan dua kali setiap bulan di Parlimen masing-masing. Kita harap orang ramai mengambil kesempatan mendapatkan barangan keperluan seperti gula, beras, ayam, tepung, telur dan pelbagai lagi dengan harga berpatutan,” katanya.











