PASIR SALAK 11 Feb. – Daerah Perak Tengah di sini berpotensi dijadikan hub pengeluaran durian di negara ini kerana merupakan salah satu kawasan pengeluaran durian terbanyak.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata,
pengeluaran durian boleh menjadi sebagai satu industri baharu dan cabang ekonomi yang berpotensi besar kepada sumber pendapatan negara serta mereka yang mengusahakannya.
Kata Tajuddin, dijangka beberapa tahun akan datang, penanaman durian bakal muncul sebagai nadi pengerak industri yang mampu menjana ekonomi negara pada masa depan.
“ Durian boleh menguntungkan mereka yang mengusahakannya di sepanjang rantai nilai terutama di Kampung Gajah, Parit dan Bota yang memang terkenal dengan pengeluaran durian dan sudah ada branding.
“Kita tak ekploitasi lagi jenama tersebut. Namun kita akan lakukan kajian terperinci termasuk berapa banyak sebenarnya kawasan yang ditanam durian di sini serta sambutan masyarakat sebelum kita jadikan kawasan ini sebagai hub,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Pemulihan Dusun Durian Daerah Perak Tengah, Jabatan Pertanian Negeri Perak di Dewan Serbaguna Kampung Pulai Tiga Kiri di sini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Jamal Harizan Yang Razali dan Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Norazmi Yahya. – UTUSAN ONLINE









