KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengisytiharkan kadar dividen 6.90 peratus bagi Simpanan Konvensional 2017 dengan jumlah agihan dividen sebanyak RM44.15 bilion dan 6.40 peratus untuk Simpanan Shariah dengan agihan dividen RM3.98 bilion.
Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman berkata, jumlah keseluruhan pengagihan dividen untuk tahun lalu adalah sebanyak RM48.13 bilion meningkat 29.8 peratus berbanding tahun 2016.
“Kami amat sukacita dengan prestasi keseluruhan pada tahun 2017 yang juga merupakan tahun penting bagi KWSP memandangkan kami kini menguruskan dua skim simpanan dan mengisytiharkan dua kadar dividen.
“Simpanan Shariah menunjukkan prestasi kukuh untuk pengisytiharan dividen yang pertama. Ini membuktikan prestasi aset Shariah KWSP yang mapan seterusnya memberikan berita baik kepada ahli kami yang telah bertukar kepada Simpanan Shariah.
“Bagi Simpanan Konvensional, kadar 6.90 peratus merupakan kadar tertinggi pernah diumumkan sejak tahun 1997,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.











