Naluri seorang isteri & ibu - Utusan Malaysia

Naluri seorang isteri & ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“RINDU itu, sekali-sekala bukankah bagus buat pasangan suami isteri?” bicaranya sambil manis menguntum senyum.

Begitulah seadanya seorang wanita bernama Bunga Citra Lestari, pemurah dengan senyuman walaupun sedang sibuk mengendali waktu yang kelihatannya bagai tidak pernah cukup dalam seharian hidup penyanyi dari tanah seberang ini.

Berbicara soal waktu, Bunga akui masa begitu mencemburui tidak cuma dirinya, malah mengekang waktu bersama antara dia, suami dan anak lantaran timbunan tanggungjawab terhadap kerjaya.

Jarak juga umpama satu bebanan kerana suaminya Ashraf Sinclair tidak tinggal sebumbung dengannya di Jakarta, Indonesia malah lebih banyak berada di Kuala Lumpur, melunaskan tanggungjawab kerjayanya sebagai pelakon kebelakangan ini.

“Hubungan kami berdua juga bermula dengan cinta jarak jauh. Saya dan Ashraf baik-baik saja dengan situasi ini cuma mungkin bagi Noah ia agak berat kerana ada ketika dia akan sangat merindui ayahnya.

“Kalau Noah teringin benar mahu bertemu Ashraf di Kuala Lumpur, saya akan terbangkan dia ditemani ibu. Tapi dalam kebanyakan situasi, saya akan pergi bersama Noah.

“Walau sekejap pun tak apalah kerana masing-masing mengerti punya tanggungjawab kerja di dua negara berbeza,”katanya.

Tidak tertekan dengan keadaan itu, kata penyanyi berusia 35 tahun ini, tiada istilah halangan untuk berhubungan atau bertemu kerana teknologi kini semakin canggih berbanding waktu dahulu.

“Teknologi juga banyak membantu dan sangat bagus berbanding zaman saya dengan Ashraf bercinta dahulu. Saya dan Noah tetap tahu aktiviti Ashraf kerana dia sering menghubungi dan menghantar video. Kebanyakan masa, kami akan guna aplikasi Facetime untuk melepas rindu.

“Ya buat waktu ini, ia sudah cukup membuatkan kami rasa bersama cuma yang membezakan ialah tempat, itu sahaja,”ujarnya.

Saling menghargai

Menganggap kerinduan itu mengajar erti menghargai, Bunga menjadikan ia antara resipi membina sebuah keluarga yang bahagia dengan caranya tersendiri.

Mengaitkannya dengan ulang tahun ke-10 perkahwinan dengan Ashraf, Bunga melihat ia adalah sebuah perjalanan yang tidak mudah namun banyak pengisian indah.

Ia lebih kepada bagaimana dia begitu mensyukuri kehadiran Ashraf dalam hidupnya, sebagai seseorang yang memiliki personaliti berbeza namun saling melengkapi antara satu sama lain.

“Apa yang menjadi kelemahanku, ia adalah kekuatan Ashraf dan begitu juga sebaliknya. Kami saling serasi kerana sifat saling melengkapi itu. Malah sejak hadirnya Ashraf dalam hidup, saya jadi semakin kuat dan lebih baik daripada sebelumnya.

“Ketika berkahwin, kerjaya saya sedang berada di puncak dan kata orang, ia akan membuatkan saya tenggelam. Tetapi terbukti, perkahwinan membawa saya ke tahap yang lebih baik.

“Saya jadi makin matang dari segi keperibadian dan pemikiran serta bagaimana saya melihat situasi dari sudut yang berbeza,” katanya.

Namun lumrah hidup pasangan suami isteri, tiada yang pernah sentiasa aman tanpa pertelingkahan dan bagi Bunga, itu semua memberi warna dan rencah dalam kehidupannya bersama suami tercinta.

Sedar ramai berpandangan betapa bahagianya kehidupan Bunga sekeluarga sehingga ada yang menjadikan mereka inspirasi keluarga bahagia, beriring dengan ucapan terima kasih, wanita ini mahu setiap orang berpijak di bumi nyata.

“Ya, saya juga suka dengan keluarga saya sendiri. Boleh jadikan inspirasi tetapi ia tidak bermakna dalam hidup ini semuanya sempurna. Bahagia itu tidak seindah dongeng kerana saya dan Ashraf, kami juga adakalanya tidak dapat lari mengalami masalah domestik rumah tangga sebagaimana pasangan lain.

“Bahagia itu perlu banyak pengorbanan.Ia sejauh mana perasaan kita mahu terus berjuang untuk hidup bersama dan tentulah memerlukan usaha yang banyak daripada dua belah pihak bagi memastikan bahagia itu dirasai bersama sepenuhnya,” katanya.

Sempat ketawa besar saat diajukan pertanyaan mengenai anak, Bunga tidak menolak pertanyaan yang sama sering diterimanya daripada kalangan keluarga yang menaruh harapan untuk melihat Noah yang kini berusia 8 tahun mempunyai adik.

Kata penyanyi lagu Wanita Terbahagia ini, dia juga menyimpan hasrat yang sama andai dikurniakan rezeki cuma ada syaratnya.

“Sebelum dikurniakan Noah lagi, saya dan Ashraf tidak pernah merancang dan kami berserah saja pada Allah SWT.

“Kalau memang waktunya tepat, ya saya mahu lagi anak. Tapi, kalau boleh seorang sahaja lagi, kemudian cukuplah. Tutup ‘kedai’.

“Wang persekolahan sekarang sangat mahal ya. Kena kerja keras lagi kalau anak sudah bertambah!” seloroh wanita cantik ini menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×