Muguruza dijangka kembali menyengat - Utusan Malaysia

Muguruza dijangka kembali menyengat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID – Juara Wimbledon, Garbine Muguruza akan kembali bekerjasama dengan bekas jurulatihnya, Conchita Martinez tahun ini.

Martinez, 46, sebelum ini pernah menyertai kem Muguruza buat sementara waktu bagi mengganti tugas Sam Sumyk selepas jurulatih itu terpaksa menghabiskan kebanyakan masa menemani isterinya yang sarat mengandung pada Julai tahun lalu.

Sentuhan Martinez yang berasal dari Sepanyol sama dengan Muguruza, berjaya menyaksikan jelitawan tenis berusia 25 tahun itu muncul juara Wimbledon 2017 menewaskan Venus Williams 7-5, 6-0 untuk merangkul gelaran Grand Slam kedua dalam karier­nya.

Selepas kejayaan tersebut, Martinez yang pernah dinobatkan sebagai juara Wimbledon 1994, tidak lagi melatih Muguruza, namun kehadirannya semula memberi bayangan pemain ranking keempat dunia itu akan menikmati musim cemerlang tahun ini.

“Saya amat gembira kerana dapat kembali berada di sisi Muguruza. Dia seorang atlet profesional yang sentiasa bekerja keras untuk mencapai impian­nya.

“Impiannya cukup tinggi dan disebabkan itu, dia sentiasa me­nunjukkan tahap kualiti tinggi sama ada dalam sesi latihan atau pertandingan.

“Ia merupakan cabaran hebat buat saya untuk memulakan tugas dengan Muguruza tetapi saya percaya kami berdua akan mengharungi musim menakjubkan tahun ini,” kata Martinez.

Muguruza, bekas pemain No. 1 dunia tentunya akan menemui semula prestasi terbaiknya beraksi di atas gelanggang keras menjelang beberapa kejohanan di Doha, Qatar, Dubai (Emiriah Arab Bersatu), Indian Wells dan Miami (Amerika Syarikat) selepas ini. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×