SETIAP pelabur dan pedagang saham hendaklah membuat satu pelan tindakan perkara-perkara yang perlu dilakukan. Dalam kata mudah membuat satu senarai garis panduan prinsip yang perlu dipatuhi dalam membuat pelaburan atau perdagangan saham.
Cikgu Saham berikan beberapa garis panduan seperti berikut:
# Menetapkan berapa kerap perlu membuat kajian saham
Dalam konteks pedagang saham, seseorang itu boleh jadi pedagang harian atau jangka masa singkat. Jangka masa singkat ini dimaksudkan berurus niaga dalam tempoh T+3 atau pun untuk tempoh dua minggu.
Sekiranya seorang pedagang saham itu membeli saham secara harian, maka dia perlu membuat kajian saham setiap hari. Bermakna dia membuat kajian saham apakah yang bakal naik setiap hari.
Untuk membuat urus niaga harian ini, pedagang saham perlu memilih satu atau dua syarikat tersenarai yang berpotensi yang bersamaan dengan jumlah modal yang akan digunakan untuk membeli saham tersebut.
Tetapi seandainya pedagang saham itu membeli saham secara mingguan, dia boleh membuat satu senarai saham-saham yang berpotensi untuk tempoh satu minggu. Sebagai contoh, pilih satu atau dua saham syarikat tersenarai yang berpotensi yang boleh naik dalam masa seminggu.
Ia sama juga dengan kajian untuk membeli saham untuk dipegang dalam tempoh satu bulan. Hanya mengkaji dua atau tiga saham syarikat tersenarai yang berpotensi untuk dibeli dan disimpan dalam masa sebulan. Dan bila cukup sebulan pegangan, pedagang tersebut boleh menikmati hasil keuntungan daripada kenaikan harga saham yang dipegang dalam tempoh sebulan itu.
Walau bagaimanapun, untuk membuat kajian saham menggunakan strategi beli dan simpan untuk tempoh selama setahun tidak sama dengan membuat kajian saham yang kurang dari satu bulan. Kerana dalam masa tempoh satu tahun itu, bermacam perkara boleh terjadi yang boleh memberi kesan terhadap sentimen pasaran yang boleh mempengaruhi harga saham.
Justeru, seorang pelabur saham perlu membuat kajian yang lebih terperinci dan lengkap agar semasa tempoh satu tahun itu, harga saham tidak akan terjejas atau kurang terjejas oleh sentimen pasaran yang negatif. Dengan kata lain saham yang dibeli itu harus kalis berbagai faktor atau sentimen negatif yang biasanya memberi kesan ke atas harga saham.
# Membuat tindakan dan pelan sendiri tanpa dipengaruhi oleh orang lain
Oleh kerana modal pelaburan itu milik kita, maka sudah tentu setiap tindakan dan keputusan itu perlu kita buat tanpa dipengaruhi oleh orang lain. Kita boleh meminta nasihat dan pandangan tetapi semua keputusan yang bakal dilakukan merupakan tindakan diri sendiri. Maka, untuk mendapat khidmat nasihat pelaburan perlu melalui saluran yang betul dan dari badan atau individu yang profesional dan diiktiraf.
# Menetapkan peratus cut loss jika harga saham turun untuk mengurangkan risiko kerugian
Strategi cut loss untuk mengurangkan risiko perlu dilakukan dengan baik dan tidak dipengaruhi oleh emosi. Juga, pelan tindakan untuk mengurangkan kerugian perlu dilakukan setelah membuat kajian dan semakan. Jangan mengambil keputusan semata-mata mendengar pendapat orang lain lebih-lebih lagi kita tidak tahu latar belakang pemberi nasihat itu.
# Menetapkan matlamat berapakah keuntungan yang bakal dijana
Setiap pelabur dan pedagang saham harus mempunyai matlamat atau pelan tindakan untuk melindungi keuntungan pelaburan atau perdagangan saham. Jangan biarkan portfolio begitu sahaja walaupun ia telah menunjukkan peningkatan harga.
Buat pelan tindakan bilakah masa anda perlu menjual saham-saham yang telah untung sama ada dari segi peratus atau dalam nilai ringgit.
# Menyemak secara berjadual atau berkala portfolio pelaburan
Menetapkan berapa kerap anda perlu menyemak portfolio anda sama ada seminggu atau dua minggu sekali, atau sebulan sekali. Jangan biarkan portfolio pelaburan anda tidak dipantau untuk satu tempoh yang lama.
Tidak perlu memantau portfolio anda setiap hari melainkan jika anda merupakan seorang pedagang saham harian.
# Bertekad untuk menambah ilmu pengetahuan dengan menghadiri kursus atau seminar penerangan tentang saham
Merajinkan diri untuk menambah ilmu pengetahuan atau maklumat semasa dengan menghadiri seminar-seminar sama ada berbayar atau percuma. Banyak seminar percuma yang boleh dihadiri untuk menambah ilmu pengetahuan yang sedia ada.










