Maldives bergolak - Utusan Malaysia

Maldives bergolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALE, MALDIVES 6 Feb. – Presiden Maldives, Abdulla Yameen yang mengisytiharkan perintah darurat selama 15 hari di negara ini sejak semalam, telah mengarahkan penahanan Ketua Hakim Maldives, Abdulla Saeed dan Hakim Mahkamah Agung, Ali Hameed pada awal pagi ini.

Mereka ditahan bersama-sama pentadbir tertinggi mah­kamah, Hassan Saeed selepas anggota tentera lengkap bersenjata dan unit operasi khas polis menyerbu kompleks mahkamah di sini.

Pihak polis dalam satu kenyataan ringkas memaklumkan penahanan mereka dilakukan selepas menerima aduan berhubung ke­giatan ra­suah.

Semalam Abdulla Yameen telah mengarahkan penahanan bekas Pre­siden, Maumoon Abdul Gayoom, 80, yang juga abang tirinya dan menantu lelaki beliau kerana didakwa memihak kepada pihak pembangkang.

Krisis politik di negara ini semakin meruncing selepas Abdulla Yameen me­ngingkari perintah Mah­kamah Agung supaya membebaskan sembilan ahli politik dan tindakan terbaharu itu mening­katkan ketegangan selain mencemar imej­nya sebagai pulau peranginan yang terkenal di dunia.

Mahkamah sebelum itu turut memerintahkan kerajaan me­ngembalikan jawatan 12 penggubal undang-undang yang di­pecat kerana mempertahankan pihak pembangkang, sekali gus membolehkan pihak pembangkang mempunyai soko­ngan majoriti seramai 85 ahli Parlimen dan membuka la­luan untuk pemecatan Presiden.

Maumoon yang pernah me­nyandang jawatan Presiden selama 30 tahun dalam pilihan raya demokrasi pertama negara ini pada tahun 2008, turut berkempen untuk menggulingkan pre­siden yang sedia ada.

“Saya tidak melakukan apa-apa sehingga perlu ditangkap dan saya menggesa anda berpegang teguh pada pendirian masing-masing. Kami tidak akan me­ngaku kalah terhadap perubahan yang sedang kami lakukan,’’ kata be­liau kepada para penyokong­nya menerusi rakaman video yang dimuat naik dalam Twitter.

Sejak berkuasa pada tahun 2013, kerajaan yang diterajui Abdulla Yameen telah melancar banyak serbuan dan menahan hampir kesemua ahli politik pembangkang.

Sementara itu, kerajaan me­ngarahkan tentera dan polis agar menghalang sebarang pe­nahanan atau tindakan memecat Abdulla Yameen.

Jurucakap kerajaan, Ibrahim Hussain Shihab melalui satu kenyataan di sini berkata, Mahkamah Agung tidak membuat keputusan yang melangkaui perlembagaan.

Dalam perkembangan lain, bekas presiden Maldives, Mohamed Nasheed yang berada dalam buangan di luar negara, meminta India dan Amerika Syarikat campur tangan untuk menyingkirkan Abdulla Yameen.– AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×