Kisona mahu atasi trauma di Alor Setar - Utusan Malaysia

Kisona mahu atasi trauma di Alor Setar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 6 Feb. – Pemain perseorangan ketiga negara, S. Kisona mahu melupakan peristiwa hitam ketika dia mengalami kecederaan lutut serius sewaktu beraksi Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini, empat tahun lalu.


Dalam aksi tersebut, Kisona yang ketika itu berusia 16 tahun mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL), ligamen kolateral lateral (LCL) dan ligamen kolateral medial (MCL) sewaktu aksi suku akhir menentang He Bingjiao dari China.


Dia mengakui masih berasa takut untuk turun beraksi di Kejohanan Berpasukan Asia di venue sama namun terpaksa ‘berperang’ dengan diri sendiri demi memastikan Malaysia meraih mata ketiga selepas menundukkan Dinh Thi Phuong Hong 21-17, 21-18 dalam perlawanan Kumpulan Y menentang Vietnam.


“Selepas mengalami kecederaan itu memang saya sangat trauma untuk beraksi di sini dan ini adalah kali pertama selepas empat tahun, saya kembali bermain di sini.


“Perasaan takut itu masih ada dalam diri saya, ketika itu saya kena ACL, MCL, LCL…kecederaan berkaitan lutut semua ada. Seperti hari ini, memang saya ada rasa takut lagi sewaktu mula-mula ingin masuk ke dalam gelanggang.


“Bagaimanapun, saya berharap kejohanan kali ini akan memberikan kenangan indah buat saya, tidak seperti empat tahun lalu,” katanya ketika ditemui selepas tamat permainan.


Mengulas mengenai aksi hari ini, pemain kelahiran Seremban itu berkata, dia berasa gemuruh pada awal permainan tetapi berjaya mengatasi perkara itu dengan mengikut segala arahan jurulatih yang berada di belakang gelanggang.


Katanya, memang agak kekok untuk dia beraksi dalam acara berpasukan kerana itu merupakan kali pertama dia beraksi selepas empat tahun.


“Memang perasaan saya ketika awal permainan sangat gugup kerana saya jarang menyertai kejohanan tetapi saya ikut setiap arahan yang diberikan jurulatih.


“Seandainya diberikan peluang beraksi lagi selepas ini, memang saya sudah tahu cara terbaik untuk bermain.


“Bagaimanapun, kedudukan perseorangan ketiga masih terbuka di antara saya dan Lim Yin Fun, jadi terpulang kepada jurulatih untuk memilih untuk menurunkan sesiapa sahaja,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×