ALOR SETAR 6 Feb. – Skuad badminton wanita negara berdepan masalah besar apabila pemain beregu, Woon Khe Wei mengalami kecederaan lutut kanan ketika beraksi menentang Vietnam dalam saingan Kumpulan Y, Kejohanan Berpasukan Asia, di sini sebentar tadi.
Dalam aksi keempat Malaysia di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini Khe Wei yang turun bersama Vivian Hoo beraksi menentang Nguyen Thuy Linh- Vu Thi Trang.
Ketika kedudukan terikat set pertama 10-10, pasangan negara terpaksa menarik diri selepas Khe Wei mengalami kecederaan di bahagian lutut kanannya sekali gus memberi mata pertama kepada pasukan Vietnam dalam perlawanan itu.
Vivian berkata, mereka terpaksa menghentikan permainan selepas melihat Khe Wei merasakan kakinya terasa seperti terseliuh tetapi tidak dapat dipastikan kecederaan sebenar yang dialami pasangannya itu.
Katanya, kecederaan seperti itu sememangnya tidak dapat dielakkan dan keputusan terbaik ketika itu ialah menarik diri kerana bimbang kecederaan itu akan menjadi lebih teruk.
“Khe Wei ada rasa macam terseliuh tetapi saya tidak pasti di bahagian mana tetapi saya rasa macam di lutut dan perkara ini akan dirujuk kepada doktor untuk pemeriksaan lanjut.
“Dalam keadaan ini, kita tidak boleh teruskan permainan keranan kalau diteruskan keadaan memang akan menjadi lebih teruk untuk Khe Wei,” katanya ketika ditemui selepas tamat permainan.
Berdasarkan kepada keadaan semasa, ketua jurulatih beregu wanita, Wong Pei Tty berkemungkinan besar akan menggunakan khdimat gandingan bidan terjun seperti yang dilakukan ke atas Chow Mei Kuan yang bergandingan bersama Goh Yea Ching dalam perlawanan pertama.
Berkemungkinan, dalam perlawanan berikutnya menentang Filipina, Vivian akan digandingkan bersama bekas pemain perseorangan negara, Tee Jing Yi.-UTUSAN ONLINE










