KUCHING – Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu mencontohi permuafakatan serta kesatuan yang dimiliki parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak selepas berjaya menjadi antara parti terkuat di Malaysia.
Pengerusi BN Pusat yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, parti PBB yang menjadi benteng kekuatan BN Sarawak harus dijadikan sebagai ikutan oleh semua parti komponen BN di seluruh negara.
Menurut beliau, tidak menjadi kesalahan untuk semua parti komponen BN di negara ini mengguna pakai pendekatan atau metodologi yang dibudayakan oleh PBB khususnya ketika berdepan persekitaran politik yang kini jauh berbeza.
“Saya dapat melihat kekuatan PBB adalah berpaksi kepada kekuatan dalaman parti terutamanya kesatuan dan permuafakatan antara barisan kepimpinan tertinggi parti hingga ke peringkat akar umbi.
“Teruskan perjuangan ini dan kekalkanlah momentum kekuatan parti PBB dalam keluarga besar BN.
“Permuafakatan dan kesatuan ini perlu diteruskan demi kelangsungan kekuatan BN secara keseluruhannya,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung PBB ke-14 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini hari ini.
Turut hadir ialah Presiden PBB merangkap Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg. – K! ONLINE









