SHAH ALAM – Dua lelaki parah manakala empat lagi terselamat dalam kemalangan melibatkan enam buah kenderaan ketika sedang beratur untuk menambah nilai kad Touch n’ Go di Plaza Tol Bukit Kemuning, Lebuh Raya Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 8 malam itu, mereka yang parah ialah pemandu treler, Ishak Ariffin, 57, dan pemandu kereta jenis Proton Saga, Muhammad Izzat Othman, 30, yang cedera pada kepala, bahu dan patah tulang rusuk.
Kedua-dua mereka kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, empat kenderaan lain yang turut terbabit dalam kemalangan itu ialah kereta jenis Toyota Vios, Perodua Alza, Peugeot dan sebuah treler kontena.
Baharudin memberitahu, kemalangan tersebut dikatakan berlaku ketika kereta yang dipandu Muhammad Izzat berada di barisan belakang sekali.
Tiga kenderaan lain pula sedang menunggu giliran menambah nilai kad Touch n’ Go di plaza tol berkenaan di lorong kedua menghala ke Kuala Lumpur dari Klang.
Katanya, secara tiba-tiba sebuah treler panjang tanpa muatan dari arah belakang gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh tembok tol dan kereta dipandu Muhammad Izzat.










