TOKYO – Jepun menyerbu beberapa bursa mata wang digital berikutan penggodaman besar-besaran yang menyaksikan kehilangan AS$530 juta (RM2.08 bilion) mata wang digital semalam.
Penggodaman terhadap Coincheck merupakan kes terbesar dilaporkan, menyebabkan pihak berkuasa menggeledah pejabat firma tersebut minggu lalu dan mengeluarkan perintah pentadbiran.
Menteri Kewangan, Taro Aso semalam berkata, serbuan-serbuan tersebut kini diperluaskan ke lain-lain agensi pengendali urus niaga mata wang kripto.
“Kami telah memulakan serbuan terhadap beberapa firma mata wang digital,” katanya kepada pemberita sambil menambah serbuan tersebut dilakukan bagi memeriksa struktur pentadbiran dalaman mereka.
Aso yang juga merupakan menteri bertanggungjawab terhadap perkhidmatan kewangan mengakui kerajaan perlu meningkatkan pemantauan terhadap bursa mata wang maya.
Pegawai-pegawai Jepun mendakwa Coincheck gagal melaksanakan langkah-langkah keselamatan sehingga mendedahkan syarikat itu kepada penggodaman dan kecurian.
Akibat peningkatan kecurian mata wang kripto, Agensi Perkhidmatan Kewangan negara itu mengarahkan berpuluh-puluh firma yang terbabit menghantar laporan mengenai usaha mereka mengawasi risiko penggodaman.
Penggodam melarikan 523 juta unit mata wang digital NEM daripada Coincheck pada 26 Januari lalu, melebihi AS$480 juta (RM1.8 bilion) mata wang kripto yang dicuri pada tahun 2014 daripada sebuah lagi firma Jepun, MtGox.
Akhbar Yomuiri Shimbun sebelum ini memetik kenyataan anggota polis yang enggan dikenali berkata, Coincheck sebelum ini dilaporkan beberapa kali diakses secara haram menerusi pelayan di Amerika Syarikat, Jerman dan Belanda beberapa hari sebelum dicuri. – AFP











