JDT buru kemenangan pertama - Utusan Malaysia

JDT buru kemenangan pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETUA jurulatih kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Ullisses Morais mempunyai ramuan terbaik untuk berdepan Persija Jakarta dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 yang disifatkan sebagai satu pasukan kuat di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin malam ini.

Morais berkata, perkara tersebut diakui selepas mengkaji perlawanan terdahulu pasukan dari Indonesia itu sebagai persediaan aksi pertama Kumpulan H tersebut.

“Saya sudah mengkaji kekuatan dan kelemahan pasukan Persija. Jadi kita sudah ada ramuan sendiri untuk menggempur kubu pasukan lawan.

“Apa yang pasti kita mahu menang sekali gus tiga mata menjadi hak mutlak kita,” katanya pada sidang akhbar di Hotel Thistle Johor Bahru semalam.

Turut hadir jurulatih Persija Jakarta, Alesandro Steffano Cuggura Rodrigues.

Mengulas mengenai persiapan dan pemain yang akan diturunkan, menurut Morais, beliau akan melihat tahap kece­r­dasan semua pemain terlebih dahulu ketika sesi latihan.

Dalam pada itu, menurutnya, khidmat penyerang, Gonzalo Cabrera tidak akan digunakan pada perlawanan itu berikutan kuota import hanya untuk empat pemain bagi setiap pasukan.

“Selain itu, pemain pertahanan, Marcos Antonia juga berkemungkinan akan direhatkan kerana mengalami kecederaan pada aksi Liga Super menentang Kuala Lumpur Ahad lalu,” ujarnya.

Namun tambahnya, beliau tidak mudah melatah dengan ketiadaan tonggak utama JDT itu kerana pemain lain turut mempunyai kekuatan tersendiri.

“Segala keputusan akan dibuat esok (hari ini), siapa yang akan diturunkan. Kita mempunyai barisan pemain yang mempunyai kekuatan masing-masing,” katanya.

Kumpulan H turut disertai wakil dari Vietnam, Song Lam Nighe dan Tampines Rovers (Singapura).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×