Galaxy A8, A8+ dilengkapi dwi-kamera - Utusan Malaysia

Galaxy A8, A8+ dilengkapi dwi-kamera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBAGAI salah sebuah syarikat gergasi yang menghasilkan telefon pintar, Samsung yang menguasai pasaran global terus bergerak ke hadapan dengan memperkenalkan produk terbaharu mereka.

Bagi melengkapkan cita rasa masyarakat dunia yang pelbagai, Samsung sering menghasilkan peranti yang memenuhi setiap segmen pasaran pengguna.

Untuk pembukaan tahun 2018, syarikat itu mempertaruhkan telefon pintar model Galaxy A8 dan Galaxy A8+ di pasaran.

Kedua-dua model telefon pintar itu mempunyai rekaan yang mewah walaupun ia dikategorikan dalam kelas pertengahan.

Bagi kedua-dua model ini, Samsung menggunakan teknologi dwi-kamera pada bahagian hadapan dan ia memberikan pengalaman untuk merakam gambar swafoto yang menakjubkan.

Tidak dapat dinafikan, pengguna kini mementingkan aspek kamera untuk pembelian sesuatu telefon pintar dan peranti yang menggunakan teknologi dwi-kamera antara yang menjadi pilihan.

Bagi peranti ini, ia menggabungkan kamera hadapan 16MP f1.9 dan 8MP f1.9 serta mampu menghasilkan gambar swafoto berkualiti tinggi.

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan fungsi bokeh yang membolehkan gambar yang diambil mempunyai latar belakang yang kabur.

Dalam pada itu, fungsi terhadap kamera belakang juga dititikberatkan oleh Samsung.

Untuk kedua-dua model ini, ia menggunakan kamera 16MP f.1.7 pada bahagian belakang.

Wajib milik

Dengan kualiti kamera sedemikian, ia masih mampu untuk merakam gambar yang baik walaupun berada dalam keadaan yang kurang pencahayaan.

Bagi pengguna yang gemar merakam gambar menggunakan telefon pintar, kedua-dua model itu antara peranti yang boleh dipertimbangkan untuk dimiliki.

Galaxy A8 hadir dengan skrin bersaiz 5.6 inci dan Galaxy A8+ bersaiz 6.0 inci Super AMOLED yang memberi paparan tayangan menakjubkan.

Kedua-dua model itu didatangkan dengan bingkai yang halus pada skrin yang membuatkan ia kelihatan lebih menarik.

Selain itu, kedua-dua peranti tersebut juga selesa dipegang kerana ia tidak terlalu besar mahupun kecil.

Untuk spesifikasi lain, kedua-dua model itu menggunakan cip pemprosesan Octa Core 2.2GHz Dual + 1.6GHz Hexa.

Bagi Galaxy A8, ia dilengkapi dengan memori 4GB RAM dan mempunyai storan dalaman bersaiz 32GB manakala Galaxy A8+ hadir dengan memori 6GB RAM dan storan dalaman sebesar 64GB.

Bagi bateri, Galaxy A8 bersaiz 3,000mAh manakala Galaxy A8+ adalah 3,500mAH. Kedua-dua model ini dilengkapi dengan teknologi pengecas pantas.

Kedua-dua model ini juga kalis debu dan air.

Ini bermakna, pengguna tidak perlu risau jika menggunakan ia di persekitaran yang terdedah dengan debu dan air.

Secara keseluruhan, Galaxy A8 dan Galaxy A8+ adalah satu peranti yang wajib dimiliki bagi pengguna yang sedang mencari-cari telefon pintar baharu untuk dimiliki.

Kedua-dua model ini didatangkan dalam tiga pilihan warna iaitu hitam, emas dan kelabu,

Galaxy A8 dijual pada harga RM1,799 manakala Galaxy A8+ berharga RM2,499.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×