WASHINGTON 7 Feb. – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa beliau ‘teringin melihat’ operasi pentadbiran kerajaan dihentikan jika Kongres gagal mencapai persetujuan dalam perundingan tentang imigresen.
“Jika kami gagal mengubahnya, biarlah ia (operasinya) dihentikan. Kami akan menghentikan operasi pentadbiran dan ia berbaloi untuk negara ini,” kata Trump sebagaimana dilaporkan BBC.
Operasi kerajaan terpaksa dihentikan buat sementara bulan lalu berikutan pertikaian politik antara anggota Parti Demokrat dan Republikan.
Sementara itu, Pemimpin Parti Demokrat, Senator Chuck Schumer berkata, Trump bercakap untuk dirinya sendiri dan orang lain tidak menginginkannya.
“Kita telah melalui penutupan sementara sebelum ini, tiada siapa yang mahukannya kecuali Trump,” kata Senator dari New York itu.
Bagaimanapun Setiausaha Akhbar Trump, Sarah Sanders menafikan bahawa Presiden AS inginkan operasi pentadbiran kerajaan dihentikan.
Beliau berkata, Presiden sebaliknya mahukan perjanjian bersifat jangka panjang dan mahukan perjanjian dicapai tentang imigresen.
Sementara itu, Trump dilaporkan meminta Pentagon mengadakan perarakan tentera besar-besaran di ibu negara ini.
Menurut BBC, permintaan itu dibuat oleh Trump kepada ketua tertinggi tentera negara ini pada akhir Januari lalu selepas beliau dilaporkan teruja dengan perbarisan sempena Hari Bastille di Perancis, tahun lalu.
Pertunjukan ketenteraan di Washington DC biasanya hanya diadakan untuk menandakan kemenangan selepas perang.
Parti Demokrat menyifatkan rancangan Trump mempamerkan kekuatan tentera sama seperti negara-negara yang mempunyai pemerintah diktator.
Hasrat Trump pertama kali didedahkan oleh Washington Post dan disahkan oleh Sanders.
Perbarisan Hari Bastille tahun lalu menandakan tempoh 100 tahun sejak AS terlibat dalam Perang Dunia Pertama dengan diadakan perbarisan tentera di Champ-Elysees disertai berpuluh-puluh kenderaan tentera, pesawat tentera udara dan kereta berkuda.
“Peristiwa itu merupakan perarakan terhebat pernah saya lihat dan kita akan mencuba untuk mengadakannya,” kata Trump.
Sementara itu, Pentagon dilaporkan sedang melihat butiran acara itu walaupun seorang pegawai White House memaklumkan rancangan Washington Post masih dalam peringkat perbincangan.











