BUKIT MERTAJAM 13 Feb. – Polis Pulau Pinang percaya kes pembantu rumah warga Indonesia dipercayai mangsa dera yang meninggal dunia selepas diselamatkan di sini kelmarin, hanya melibatkan tiga suspek iaitu dua beradik bersama ibu mereka yang berusia 60 tahun.
Ketua Polis negeri, Datuk A. Thaiveegan berkata, ketiga-tiga suspek ini telah ditahan reman untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti bagaimana mereka terlibat dalam kes tersebut.
Menurut beliau, pihaknya juga sedang menunggu laporan penuh daripada pakar perubatan bagi menentukan berapa lama mangsa telah didera sebelum diselamatkan.
“Kalau kita tanya mereka (suspek), mungkin mereka tidak akan mengaku atau jawapan yang diberikan juga mungkin tidak tepat.
“Jadi, kita tunggu kepastian daripada pakar perubatan sahaja,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mangsa, Adelina Lisao, 26, dari Indonesia disahkan meninggal dunia akibat sesak nafas kurang 24 jam selepas diselamatkan dari sebuah rumah dipercayai milik majikannya di Bukit Mertajam kelmarin.
Ketika ditemukan, terdapat kesan lebam di kepala dan mukanya manakala bahagian lengan serta kedua-dua belah kakinya pula bernanah, dipercayai terkena air panas.
Dalam pada itu, suspek ketiga iaitu ibu kepada dua suspek yang ditahan semalam direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Perintah reman itu dibuat Pendaftar Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Nor Hapipah Abdullah bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Kelmarin, dua anaknya yang masing-masing berusia 36 dan 39 tahun direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes yang sama mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.










