KUALA KRAI 12 Feb. – Suhu dingin agak luar biasa memberikan rahmat kepada lebih 100 penoreh di Kampung Lubok Simpol di sini kerana tanaman komoditi itu mengeluarkan susu yang banyak lebih daripada kebiasaan.
Cuaca sejuk dan berkabus yang bermula pukul 7 petang sehingga 9 pagi itu dikatakan melanda kawasan kampung tersebut sejak lima hari lalu.
Difahamkan suhu di sini juga dikatakan mencecah 17 sehingga 21 Celsius seperti di jajahan Gua Musang terutamanya ketika waktu pagi dan malam.
Bagi penoreh getah, Marzuki Dollah, 65, suhu dingin mencengkam yang agak luar biasa sejak akhir-akhir ini merupakan nikmat tidak ternilai untuk penduduk Kuala Krai yang sebahagian besarnya penoreh getah untuk menyara kehidupan keluarga masing-masing.
“Jika cuaca berterusan dingin tidak menjejaskan kehidupan harian, sebaliknya mereka bersyukur dengan anugerah Tuhan.
“Bagaimanapun, sejak beberapa hari lalu kami terpaksa pergi ke kebun lewat sekitar pukul 9 pagi setiap hari kerana kabus tebal,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, Asmah Mohammad, 61, pula berkata, sebelum keluar menoreh getah, mereka terpaksa memakai baju tebal melebihi sehelai kerana tidak tahan dengan cuaca sejuk.
Katanya, walaupun harga getah rendah RM2.35 sekilogram, namun mereka bersyukur kerana jumlah susu meningkat dan pendapatan mereka bertambah.
“Sehari kami boleh dapat lebih RM30 hasil menoreh getah. Lebih banyak daripada sebelum ini. Jadi harga getah yang rendah tidak berikan kesan yang teruk sehari dua ini disebabkan susu yang banyak,” katanya.
Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia pagi ini di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krai menyaksikan cuaca dingin dan berkabus tebal, namun tidak menjejaskan aktiviti sukan yang dilakukan lebih 30 pelajar di padang.











