BN yakin mampu rampas Lembah Pantai - Utusan Malaysia

BN yakin mampu rampas Lembah Pantai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 7 Feb. – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yakin Parlimen Lembah Pantai akan kembali menjadi milik BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti setelah pengundi menyedari kegagalan pemimpin pembangkang mentadbir kawasan tersebut.

Raja Nong Chik berkata, pengalaman ditadbir pembangkang selama dua penggal telah menyedarkan pengundi bahawa mereka perlu kembali kepada BN sekiranya mahukan pembangunan yang lebih baik.

“Saya melihat sokongan dan kepercayaan masyarakat di sini bertambah baik kerana mereka menyedari bagaimana berada di bawah pembangkang dan ia berbeza ketika diuruskan BN satu masa dahulu.

“Kawasan ini sudah banyak ketinggalan dan masyarakat terpaksa menerima pelbagai alasan daripada pemimpin masa kini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Ziarah Kongsi Kasih Tahun Baharu Cina, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Keahlian dan Daftar Pemilih (KDP) UMNO Malaysia, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad.

Dalam majlis tersebut, kira-kira 500 penduduk di kawasan Parlimen Lembah Pantai menerima sumbangan barangan keperluan harian untuk meringankan beban terutama bagi menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.

Raja Nong Chik berkata, BN tidak pernah memberikan sumbangan atau melaksanakan program secara bermusim terutama menjelang PRU-14 tetapi sejak dahulu lagi mereka giat menjalankan program secara berterusan demi kesejahteraan rakyat.

“Sejak dahulu lagi kita buat program, bertemu masyarakat kerana BN tidak muncul pada masa-masa tertentu sahaja, kita sentiasa ada bersama rakyat selepas PRU sebelum ini lagi.

“Banyak program kita lakukan termasuklah pembangunan, kebajikan, mendekati pelbagai golongan masyarakat dan memberi bantuan minyak kenderaan secara percuma,” katanya.

Katanya, kebanyakan pengundi Lembah Pantai tidak tinggal di kawasan tersebut, namun mereka tetap datang melaksanakan tanggungjawab untuk mengundi sama seperti yang dibuat dalam PRU sebelum ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN