KUALA LUMPUR 14 Feb. – Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah hari ini hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi memberi keterangan dan membantu siasatan terhadap kemasukan dana asing yang disyaki diterima portal propembangkang The Malaysian Insight.
Azwanddin menjelaskan, selepas memberikan keterangan kira-kira dua jam beliau turut menyerahkan dokumen setebal 40 muka surat untuk membantu siasatan mengenai kemasukan dana asing ke dalam akaun portal tersebut.
“Saya lega apabila dipanggil untuk memberikan keterangan tambahan dan kertas siasatan dibuka dibawah Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman kerana ia melibatkan orang kenamaan.
“Saya yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan secara efisyen malah siasatan dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar selepas memberikan keterangan di sini hari ini.
Pada 4 Februari lalu, JMM telah membuat laporan polis untuk menggesa PDRM menjalankan siasatan terhadap portal tersebut yang disyaki menerima kemasukan dana asing iaitu kira-kira RM3 juta bagi tujuan menjatuhkan kerajaan. – UTUSAN ONLINE











