3 kereta milik JPJ pula dibakar - Utusan Malaysia

3 kereta milik JPJ pula dibakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR 6 Feb. – Agensi penguat kuasa kita terus dicabar! Tidak sampai dua minggu, empat kereta milik pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malasia (JKDM) dibakar di Putrajaya, kali ini Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pula menjadi sasaran.

Kejadian terbaharu dianggap lebih biadab dan membuktikan sikap penjenayah yang semakin berani mencabar agensi penguat kuasa. Ia berikutan kali ini ‘serangan’ dilakukan di Stesen Penguatkuasaan JPJ Kuala Kangsar.

Akibat perbuatan tersebut tiga kenderaan milik jabatan tersebut dan dua buah kereta Volvo milik orang awam yang disita musnah terbakar, disyaki berpunca daripada perasaan tidak puas hati dengan tindakan penguatkuasaan yang dijalankan.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Ahmad Termizi Abd. Haq berkata, kereta JPJ yang terbakar itu ialah dua buah Toyota Fortuner dan sebuah Ford Ranger.

Apa yang membimbangkan me­lalui kenyataan Ahmad Termizi, ia membuktikan keberanian pihak tertentu mencabar pihak berkuasa dengan memasuki kawasan larangan apabila hasil siasatan mendapati kejadian di­percayai berpunca da­ripada perbuatan khianat

“Ini kerana terdapat kesan pagar dipotong di bahagian tepi jalan kawasan berke­naan. Motif masih da­lam siasatan, namun ada kemungkinan kejadian dilakukan oleh pihak-pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan tindakan penguatkuasaan oleh JPJ.

“Setakat ini kita masih mengesan jumlah suspek yang terlibat dan percaya perbuatan itu dilakukan lebih daripada seorang individu,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian di sini hari ini.

Ahmad Termizi memberitahu, tiada tangkapan dilakukan setakat ini dan pihak JPJ juga tidak me­nerima sebarang ugutan, namun siasatan akan dilakukan secara mendalam termasuk terhadap mereka yang tidak berpuas hati dengan jabatan berkenaan.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat menggunakan api,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Sayani Saidon berkata, 16 anggota bersama dua jentera serta sebuah kenderaan Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar dihantar ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.30 pagi.

Jelasnya, kebakaran dapat dikawal dalam tempoh 10 minit dan pihaknya mendapati tiga buah kenderaan JPJ musnah dengan satu daripadanya 90 peratus terbakar, manakala dua lagi terbakar 70 peratus.

“Menurut saksi kejadian iaitu pengawal keselamatan di sini, dia cuba mengawal kebakaran itu, namun berlaku letupan kecil sehingga dia terpaksa menghubungi bomba untuk bantuan. Kebakaran itu bermula daripada kereta To­yota Fortuner yang diletakkan di tengah-tengah kenderaan yang terlibat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN