SUNGAI PETANI 8 Feb. – Kegembiraan jelas terbayang pada wajah 150 penduduk terutamanya mangsa banjir setelah menerima pelbagai barangan makanan menerusi program Sumbangan Kasih Sayang di Pesta Ponggal 2018 di Dewan Bukit Belah, Jalan Kuala Ketil di sini hari ini.
Pengerusi MIC Bahagian Sungai Petani, K. Subra berkata, kesemua penduduk berkenaan dipilih menerima sumbangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu bagi meringankan beban mereka.
“Mereka yang menerima sumbangan itu terdiri daripada ibu tunggal, warga emas serta golongan kurang berkemampuan yang dikenal pasti di sekitar kawasan ini,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Senator Datuk Shahanim Mohamad Yusoff ketika berucap dalam majlis Sumbangan Kasih Sayang itu berkata, masyarakat pelbagai kaum perlu saling hormat-menghormati antara satu sama lain demi memastikan keharmonian negara terus terjamin.
“Jika sifat itu terus diamalkan, banyak kebaikan bakal dinikmati bersama dari semasa ke semasa. Masyarakat India di negara ini tidak perlu merasa tersisih dan mereka juga boleh menikmati pelbagai kemajuan hidup termasuk dalam bidang ekonomi, pendidikan serta lain-lain,” katanya.
Sehubungan itu, Shahanim mengajak masyarakat India agar menyokong setiap dasar diperkenalkan oleh kerajaan dan segera merujuk kepada pihak-pihak yang berkaitan apabila timbul sebarang masalah.











