PETALING JAYA: Harga emas terus melonjak dengan emas campuran (916) dijangka mencecah RM600 segram dalam tempoh terdekat, selepas logam berharga itu pertama kali mencapai nilai melebihi AS$4,500 seauns dalam urus niaga emas global, semalam.
Semalam, emas global mencapai tahap tertinggi baharu apabila didagangkan pada AS$4,520 seauns (RM18,369.10) atau RM648 segram bagi emas spot, manakala emas 916 pada RM573 segram.
Pensyarah Ekonomi Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, UiTM, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, kebangkitan harga emas adalah susulan jangkaan penurunan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang akan diteruskan tahun depan.
Ujarnya, jika Federal Reserve (Fed) menurunkan kadar faedah, kos peluang memegang emas yang tidak memberi faedah akan menjadi lebih rendah.
“Situasi ini mendorong pelabur membeli emas, sekali gus menolak harga logam berharga itu naik. Sebaliknya, jika kadar faedah dinaikkan atau inflasi berjaya dikawal, emas berpotensi kehilangan tarikan dan harga boleh turun.
“Emas selalu menjadi pelindung nilai terhadap ketidaktentuan pasaran dan inflasi. Dengan jangkaan penurunan kadar faedah AS, kita menjangkakan pelabur akan terus mencari perlindungan melalui emas, sekaligus mengekalkan momentum kenaikan harga,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, harga emas melonjak melepasi paras AS$4,500 seauns (RM590 segram) dengan perak dan platinum turut mencatat paras tertinggi baharu.
Perak meningkat 1.2 peratus kepada AS$72.27 seauns selepas mencatat paras tertinggi sepanjang masa AS$72.70 sebelum itu, manakala platinum melonjak 3.3 peratus kepada AS$2,351.05 selepas naik ke paras tertinggi bersejarah AS$2,377.50.
Mengulas lanjut, Idham berkata, bagi tahun depan, harga emas dijangka berpotensi meningkat lima hingga 10 peratus daripada paras semasa, bersamaan RM620 hingga RM650 segram, bergantung kepada dasar monetari AS dan keadaan ekonomi global.
“Sekiranya berlaku ketidaktentuan global yang lebih serius, seperti krisis kewangan atau geopolitik, harga emas boleh melonjak lebih tinggi lagi.
“Apabila harga mencatat rekod baharu, lebih ramai pelabur, termasuk runcit dan institusi, mula membeli. Ini mewujudkan gelombang pembelian yang mempercepatkan kenaikan harga,” tambahnya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Abdul Rais Abdul Latiff berkata, harga emas tempatan bukan sahaja dipengaruhi oleh pasaran global, malah sangat bergantung kepada kekuatan mata wang ringgit berbanding dolar AS.
Menurut beliau, jika ringgit mengukuh, ia akan meningkatkan nilai emas tempatan dan sebaliknya.
“Julat harga emas tempatan banyak bergantung kepada nilai ringgit dan faktor luaran di peringkat global.
“Kenaikan mendadak harga emas baru-baru ini adalah hasil gabungan beberapa faktor utama iaitu dengan jangkaan penurunan kadar faedah AS menjadikan emas lebih menarik berbanding instrumen kewangan lain, seperti bon, kerana pelabur melihat emas sebagai alternatif yang menawarkan pulangan konsisten.
“Seterusnya, ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global meningkatkan permintaan terhadap emas sebagai aset selamat dan pembelian agresif oleh bank pusat, terutamanya negara membangun, turut menyokong harga emas,” katanya.
Selain itu, turun naik mata wang juga memainkan peranan dengan pelemahan dolar AS dan ringgit menjadikan harga emas tempatan kelihatan melonjak, kerana harga emas sangat dipengaruhi kadar pertukaran asing.
Tambah beliau, emas sesuai dilihat sebagai instrumen lindung nilai dan simpanan jangka sederhana hingga panjang, bukannya untuk tujuan spekulasi jangka pendek.
“Kenaikan mendadak biasanya diikuti fasa pembetulan harga, jadi pengguna perlu berhati-hati dan berdisiplin dalam membuat keputusan.
“Walaupun terdapat turun naik jangka pendek, emas tetap merupakan aset paling stabil dalam semua instrumen kewangan, menjadikannya pilihan utama pelabur yang mencari keselamatan dan kestabilan,” tambahnya.-UTUSAN










