Menggabungkan tumbukan kiri dan kanan, petinju yang juga Senator Filipina itu memaksa lawan dari Argentina berlutut sebelah dalam pusingan itu di hadapan Presidennya, Rodrigo Duterte dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta hampir 10,000 hadirin Arena Axiata, Bukit Jalil di sini.

Bengkung welterweight Persatuan Tinju Dunia (WBA) milik La Maquina itu berpindah tuan selepas pengadil Kenny Bayless menghentikan pertarungan setelah mendapati si juara tidak mampu lagi menahan asakan pencabar malah jatuh terduduk dalam pusingan ketiga.

Malah ketika berlutut sebelah kali pertama dalam pusingan kelima, Matthysse hanya diselamatkan oleh loceng yang berbunyi pada saat-saat akhir sedangkan Bayless membuat hitungan sehingga 10 kali bagi memastikan La Maquina dapat berdiri semula.

Pacquiao, 40, merangkul semula gelaran welterweight dunia setelah kehilangan versi Pertubuhan Tinju Dunia (WBO) kepada Jeff Horn dengan kiraan mata di Brisbane, Australia pada 2 Julai tahun lalu sementara Matthysse hanya sempat merasai bengkung WBA selama enam bulan sejak meraihnya, Januari lalu di Inglewood.

Pac Man kini melebarkan rekodnya kepada 60 kemenangan (39 KO), tujuh kalah dan dua seri dengan inilah TKO pertamanya sejak kali terakhir melakukannya dengan menumbangkan Miguel Cotto pada 14 November 2009 di Las Vegas untuk menyandang gelaran welterweight WBO dan Majlis Tinju Dunia (WBC).

Kekalahan Matthysse, 36, menjadikan rekodnya kini kepada 39 kemenangan (36 KO) dan lima kekalahan selain bertambah kepada dua kali ditumbangkan sejak menceburi karier profesional pada 4 Jun 2004.

“Ini sebahagian daripada lumrah tinju. Ada kalanya anda menang, ada kalanya kalah. Dia (Pacquiao) legenda yang hebat. Saya perlu berehat selepas kekalahan ini,” kata La Maquina yang dibimbing Joel Diaz dari Mexico.

Jelas Pac Man, “fikiran saya pada awalnya ialah mahu mengawal pertarungan dan menang dengan meyakinkan. Strategi saya pula hanya bersabar dan cuba ambil masa serta jangan terburu-b uru atau cuai macam pertarungan lalu.

“Matthysse lawan yang kuat, tidak boleh diperkecilkan. Tumbukan cedoknya tetap berkuasa tetapi dia seperti terkejut, sakit dan tidak mampu menahan asakan saya. Ini realitinya di gelanggang.

“Dia mula mengubah gaya apabila terkejut saya mengasak dari dalam dan bukan secara mengelilinginya. Itulah yang saya mahukan, lebih banyak aksi di gelanggang,” kata petinju berusia 40 tahun kelahiran Kibawe, Bukidnon ini.

Mengenai kehadiran Duterte, katanya, “Tuan Presiden beritahusaya selepas pertarungan, dia begitu gembira kerana saya membanggakan negara dan rakyat Filipina.

“Saya pula beritahu bahawa saya terhormat dan gembira serta teruja lebih daripada pertarungan sebelum ini dengan kehadirannya dan Perdana Menteri Malaysia (Mahathir).- UTUSAN ONLINE