Jentera BMW yang digunakan oleh pelumba Horizon Racing Team berusia 25 tahun itu, jelas terlalu pantas untuk dikejar oleh Zulfahmi, apabila Farid menamatkan perlumbaan 10 pusingan itu dalam masa 21 minit dan 54.059 saat, manakala Zulfahmi dari pasukan SIC Junior ZK Racing mencatatkan 21:56.052s di tempat kedua.

"Perlumbaan tadi agak sengit, namun strategi yang saya rancang nampak berhasil, sasaran saya adalah untuk berada di hadapan dan ia berhasil. Sebaik berjaya memimpin perlumbaan, saya terus memecut pada tahap maksimum bagi menjarakkan diri dengan Zulfahmi dan ia berhasil dengan keadaan jentera yang semakin stabil sehingga tamat perlumbaan," kata Farid.

Zulfahmi yang kembali mewarnai litar selepas berehat hampir setahun daripada perlumbaan kompetitif, menganggap perlumbaan itu sebagai permulaan untuk kembali mendapatkan momentum selepas berehat agak lama.

"Ia permulaan yang baik dan saya tetap menikmati perlumbaan tadi. Saya juga mengakui melakukan kesilapan kerana bangkit agak lambat untuk memberi tentangan," kata bekas pelumba pasukan Moto2 SIC Racing Team itu.

Bagi MSBK1000 kelas B pula, kejuaraan menjadi milik rakan sepasukan Farid, Nik Hadi Nik Mahmood dengan catatan masa 24:01.230s.

Shahrulnizam Ramli pula menjuarai MSBK1000 Superstock kelas A dengan masa 22:38.747s manakala gelaran juara bagi kelas B pula menjadi milik Daniel Haiqal yang menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 22:50.229s.

Pada Perlumbaan 1 MSBK600, pelumba pasukan Boon Siew Honda Racing Team, Azroy Hakeem Anuar muncul juara dengan catatan masa 22:10.764s, selepas mengejutkan pelumba pilihan, Kasma Daniel Kasmayudin (Hong Leong Yamaha Malaysia) yang menamatkan perlumbaan 10 lap itu di tempat kedua dengan masa 22:11.648s.

Tempat ketiga menjadi milik pelumba pasukan SIC Junior ZK Racing, M Izam Ikmal Izmali yang melakukan catatan masa 22:11.856s.

Saingan MSBK akan bersambung esok dengan membabitkan Perlumbaan 2 kelas MSBK250, MSBK1000 Superbike dan Superstok, di mana peminat boleh menyaksikan perlumbaan tersebut secara percuma di SIC. - BERNAMA