Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, KBS sentiasa memastikan semua atlet yang mewakili dan mengharumkan nama negara diberi penghargaan sewajarnya atas kejayaan mereka khususnya dalam perkara berkaitan kebajikan dan perumahan.

"Saya berharap kerajaan negeri lain turut melakukan perkara sama kerana di setiap negeri akan ada atlet yang dah lama menabur bakti kepada negara dan negeri yang mungkin tidak begitu dihargai," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci Residensi Wilayah kepada jaguh bina badan dunia Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan berusaha membaiki ekosistem secara keseluruhan supaya kes-kes yang menyaksikan kebajikan atlet tidak mendapat perhatian, tidak akan berulang lagi dan lebih banyak atlet akan dibantu.


"Saya berharap akan ada banyak lagi pemaju lain yang akan ke depan membantu atlet khususnya di negeri-negeri. Jika kerajaan pusat dan negeri berkolaborasi dengan baik untuk membantu kebajikan atlet, kita akan dapat memajukan landskap sukan negara," katanya.

Syed Saddiq berkata Mohd Syarul atau lebih mesra dengan panggilan Mike pernah bertemu dengannya tahun lepas untuk menyuarakan isu perumahan itu, sebelum mengadakan pertemuan dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berhubung perkara sama.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata atlet yang pernah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa perlu dihargai tidak kira sama ada mereka dari sukan popular atau pun sukan yang kurang dikenali peminat tanah air.

"Kita memang pernah bantu atlet paralimpik negara, dan pernah satu ketika ada pemaju berbuat demikian. Justeru, saya harap pemaju turut sentiasa mendekati atlet negara terutamanya jangan lupakan 'the second liners' yang menyertai kejohanan dunia, dan menang berkali-kali," katanya.

Mohd Syarul, 45, yang berasal dari Kuala Lumpur merupakan juara peringkat dunia dalam kategori bina badan tiga kali berturut-turut dari 2016 hingga 2018 dan juara peringkat Asia empat kali berturut-turut pada 2015 hingga 2018.- BERNAMA