Kata Sathianathan, biarpun mencatat kemenangan 1-0 ke atas Melaka United dalam aksi Piala Malaysia malam tadi namun skuad The Red Giants terpaksa berdepan tekanan hebat daripada tuan rumah selepas mendapat gol pada minit ke-61 menerusi Endric Dos Santos.

“Ini bukan masalah kecergasan tetapi kebuntuan, kita perlu kuatkan mental, selepas mendahului perlawanan selalunya pemain berasa tidak yakin dan ia boleh dilihat dalam gol-gol dihasilkan lawan, 60 peratus kebanyakannya, kami dibolosi menerusi serangan balas serta set piece.

“Dalam saingan Piala Malaysia, kami kena kekalkan prestasi dan perlu agresif, namun saya berpuas hati dengan kemenangan malam ini untuk membolehkan kami kutip tiga mata,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan aksi kumpulan D di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad Sang Kancil, Zainal Abidin Hassan berkata beliau kecewa dengan keputusan itu walaupun pemain mempamerkan prestasi terbaik dengan cuba bangkit mencari gol penyamaan namun gagal menghasilkan jaringan.

“Apa yang penting kami perlu gantikan mata ini nanti dengan mencari kemenangan di tempat lawan, memang merugikan kami hilang mata di tempat sendiri, namun kami akan perbaiki segala kelemahan pada perlawanan seterusnya,” katanya.

Selangor kini mendahului Kumpulan D selepas mengutip empat mata hasil keputusan satu seri dan kemenangan diikuti PDRM FA dan Melaka United yang berkongsi tiga mata manakala Felda United di kedudukan keempat dengan satu mata.- BERNAMA