Menurut laporan media Sepanyol, AS, Salah akan menyerahkan permohonan perpindahan dalam tempoh beberapa hari lagi.

Penyerang Mesir itu menjadi pemain kesayangan di Anfield selepas menyertai Liverpool dari Roma pada musim panas 2017.

Musim pertama Salah bersama The Reds cukup menakjubkan apabila dia meledak 44 gol daripada 55 penampilan selain membantu pasukan itu mara ke final Liga Juara-Juara sebelum tewas kepada Real Madrid.

Bagaimanapun, Salah kurang menyerlah musim ini apabila dia hanya menjaringkan 22 gol daripada 44 penampilan dalam semua pertandingan.

Prestasi Salah semasa menentang pasukan enam teratas liga kurang menyerlah dan banyak pihak mengkritik persembahan semasanya namun jaringannya semasa membantu pasukan meraih tiga mata ke atas Chelsea dalam saingan liga membuktikan bahawa dia merupakan antara peledak berbisa di persada Eropah.

AS, baru-baru ini melaporkan bahawa pegawai Liverpool mungkin berjaya membuatkan Salah menukar fikiran namun dia dijangka menyerahkan permohonan itu sama seperti Philippe Coutinho sebelum menyertai gergasi Catalan.-AGENSI