Rajagobal berkata, disiplin tinggi yang dipamerkan skuad Semut Merah hingga tamat perlawanan bagi mempertahankan gol tunggal yang dimiliki hasil jaringan Kpah Sherman pada awal babak kedua harus diberikan pujian.

Katanya, walaupun terpaksa bermain dengan kurang seorang pemain, skuad Harimau Selatan tetap mampu beraksi seperti biasa dan memberikan tekanan kepada pasukannya hingga ke wisel penamat.

“Kami datang ke sini dengan pemikiran yang positif serta keyakinan untuk mara ke pusingan seterusnya. Pemain mempamerkan disiplin tinggi dan tidak memberi ruang kepada lawan yang memiliki skil individu tinggi dan berupaya mengubah keputusan perlawanan.

“Kalau hendak dikatakan kami menang disebabkan bernasib baik, kami juga mempunyai peluang terbaik untuk menambah jaringan menerusi Sherman dalam situasi satu lawan satu namun berjaya dinafikan penjaga gol lawan.

“Mereka beraksi dengan baik sebagai sebuah pasukan pada malam ini. Bukan senang buat mana-mana pasukan mengalahkan JDT di gelanggang mereka sendiri, pujian wajar diberikan kepada pemain,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan malam tadi.

Dalam pada itu, pengurus JDT, Luciano Figueroa menjadikan faktor beraksi dengan 10 pemain selepas 10 minit perlawanan bermula sebagai punca mereka tersingkir awal daripada saingan Piala FA.

“Kami telah berusaha memberikan yang terbaik, namun kami tewas, sudah semestinya kami tidak suka kepada kekalahan.

“Untuk perlawanan seterusnya kami akan membariskan kesebelasan yang terbaik kerana Liga Super amat penting bagi kami kerana itu adalah objektif kami,” katanya.- UTUSAN ONLINE