Skuad kendalian E. Elavarasan berjaya meraih satu mata penting dalam perlawanan itu namun dia percaya, perjalanan mereka masih panjang dan tidak boleh berpuas hati dengan keputusan yang diraih setakat ini.

“Selepas ini kalau menang ia adalah lebih baik untuk pasukan melangkah ke pusingan seterusnya.

“Tiga pasukan dalam kumpulan ini termasuk Melaka United perlu lebih berusaha kerana perbezaan mata yang tidak banyak, mana-mana yang menang dalam aksi akan datang dapat mata penting untuk berada di kedudukan lebih baik dalam kumpulan,” katanya.

Terdahulu, pasukan The Cops terlebih dahulu mengejutkan The Red Giants menerusi jaringan Uche Agba pada minit ke-28 untuk mendahului perlawanan hingga berakhir babak pertama.

Skuad kendalian B. Sathianathan kembali bangkit apabila Taylor Regan menyumbat gol pada minit ke-68 sebelum Ifedayo Omosuyi menambah jaringan di minit ke-80 namun tujuh minit kemudian, pemain import PDRM, Lee Chang Hoon berjaya menyamakan kedudukan dan keputusan itu kekal hingga wisel dibunyikan.

Sementara itu, Sathianathan berkata para pemainnya tidak mengekalkan tumpuan selepas mendahului perlawanan selain menganggap mudah pertemuan menentang PDRM dan kehilangan beberapa pemain akibat kecederaan menjejaskan pasukannya.

“Sepatutnya mereka belajar pada pertemuan pertama, PDRM bekerja keras menutup peluang yang ada dan mereka bermain dengan baik, tetapi kami masih ada peluang dan akan melihat perlawanan seterusnya menentang Melaka United di Shah Alam nanti,” katanya.

Kedudukan Kumpulan D menyaksikan persaingan sengit antara Melaka United dan Selangor yang berkongsi enam mata untuk kedudukan teratas diikuti PDRM mengumpul lima mata serta Felda United dengan satu mata.-BERNAMA