Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam kenyataan terbaharu yang dikeluarkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Datuk Sri Mukhriz Mahathir itu jelas memperlihatkan beliau tidak mengikuti isu berkenaan dengan teliti.

“Dua hari lalu Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman buat kenyataan mengenai cukai pemain bola sepak dan sebagainya.

“Respons daripada warga industri bola sepak amat memberangsangkan bila mereka menyokong dan berkata jika mahu melihat industi bola sepak tempatan ini ke arah lebih maju, lebih baik ada sumbangan untuk membantu dan bukannya sekadar berkata-kata.

“Hari ini pula tiba-tiba Presiden KFA membuat satu kenyataan untuk mengatakan bahawa kelambatan penyerahan geran tahunan telah menjejaskan pasukan-pasukan.

“Ternyata respons daripada penyokong dalam komen-komen berkenaan kenyataan itu membuktikan peminat bola sepak tempatan sudah matang dan boleh melihat sendiri bahawa kenyataan ini adalah cuma untuk menampakkan keburukan sesetengah pihak terutama Pengerusi MFL Tunku Ismail Sultan Ibrahim,” katanya menerusi satu kenyataan.

Kevin turut mengingatkan bahawa, pelaksanaan geran tahunan itu buat pertama kali dilakukan musim lepas dan kelewatan penyerahannya disebabkan penarikan diri penaja utama, Telekom Malaysia, Mac lalu.

“Kami ingin menyatakan bahawa pengagihan geran tahunan berkait dengan hak penyiaran ini adalah pertama kali dalam sejarah dilakukan pada tahun lepas.

“Ini adalah satu kejayaan MFL dan bila kami di dalam proses berkembang dan terus melaksanakan projek-projek yang akan memartabatkan industri bola sepak di dalam tempoh panjang.

“Ingin kami nyatakan dalam kenyataan Presiden KFA itu, beliau cuba untuk berkata bahawa mungkin ada agenda lain di dalam MFL. Oleh sebab itu beliau menyifatkan pihak MFL tidak mahu menyerahkan geran tahunan itu lagi.

“Ternyata beliau tidak mengikuti perkembangan Liga Malaysia dengan teliti, ini kerana jika beliau mengikuti perjalanan Liga Malaysia sudah pasti beliau akan tahu bahawa faktor kelewatan geran tahunan itu disebabkan penarikan diri daripada penaja utama kami yang telah pun mula menghadapi masalah di mana mereka (TM) bertukar pucuk kepimpinan sejurus selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada Mei lalu.

“Jika Presiden KFA mahu mencetuskan kontroversi dengan berkata bahawa harapan beliau tiada agenda di sebaliknya, pihak MFL pula ingin bertanya adakah wujud agenda apabila pihak TM secara tiba-tiba berubah dalam pengurusan mereka dengan pihak MFL sejurus selepas PRU pada tahun lepas.

“Ini adalah satu perkara yang kita cuba elak sebelum ini tetapi jelas secara tiba-tiba ahli-ahli politik ini mahu membuat pelbagai komen dan sudah jelas bahawa pihak MFL menjadi sasaran mereka,” katanya.

Mukhriz hari ini menerusi media tempatan membuat satu kenyataan bahawa beliau berharap tiada agenda tersembuyi oleh MFL mengenai isu geran pasukan. - UTUSAN ONLINE.