Perkara itu disahkan penolong pengurus TFC, Zulfadli Rozi sebagai menepis dakwaan sesetengah pihak kononnya pengurusan pasukan dan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) tidak membantu pemain kacukan England-Malaysia itu dalam usaha menyarung jersi skuad Harimau Malaya.

"Sebenarnya, bukan persatuan tiada usaha...semua kena faham situasi ini. Ia berkaitan pemain itu sendiri. Apa sahaja yang Lee mahukan termasuk minatnya untuk menyarung jersi kebangsaan kita cuba membantu tetapi kita masih menunggu bukti dokumentasi daripada Lee.

"Bukti yang mengatakan bahawa dia ada pertalian darah sebelah nenek seperti yang beliau katakan. Sehingga sekarang beliau masih mencari dan telah meminta bantuan keluargannya di England untuk turut membantu mencari," katanya ketika ditemui pada majlis undian suku akhir Piala FA 2019 di sini, hari ini.

Difahamkan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi tempoh sehingga minggu depan untuk Lee Tuck dan PBSNT mengemukakan segala dokumentasi diperlukan atau beliau terpaksa menunggu lebih lama untuk merealisasikan impian untuk menyarung jersi kebangsaan.

Sementara itu, mengulas mengenai pertembungan dengan juara bertahan, Pahang pada aksi suku akhir Piala FA, Zulfadli berkata TFC akan membuat persiapan rapi dalam usaha mencipta kejutan ke atas skuad 'Tok Gajah'.

"Seperti yang kita tahu hanya tinggal lapan pasukan terbaik dan pertemuan dengan Pahang ini adalah penting untuk pasukan 'underdog' seperti kami. Kami akan membuat persiapan sepatutnya memandangkan kita tewas kepada mereka dalam aksi Liga Super sebelum ini," katanya.

Aksi pertama antara TFC dan Pahang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu akan berlangsung antara 30 April dan 1 Mei manakala aksi kedua di Stadium Darul Makmur, Kuantan antara 10 dan 11 Mei depan.- BERNAMA